Thursday, October 20, 2016

Aku Seorang Oku!

    
     Ya! aku seorang Oku. Perlukah aku berasa malu dan terhina dengan status aku sebagai seorang Oku? Tak tahulah orang lain, kalau aku, aku tak rasa semua itu. Kalau dengan status aku sebagai seorang Oku membuatkan orang ingin mempermudahkan dan memperlekehkan aku, jangan harapkan aku benarkan.

Aku seorang Oku, itu adalah ujian dan dugaan Tuhan kepada aku. Aku tak minta pun jadi begini. Dulu, aku masih boleh berjalan tetapi sekarang aku dah tak boleh berjalan, hanya berkerusi roda. Kalau mereka ingat dengan keadaan aku itu, akan membuatkan aku berasa sedih, berduka-cita dan menderita, mereka sememangnya silap. Aku tak berasa semua itu pun, malah aku berasa lebih selesa dalam keadaan ini.

Dulu, ketika aku boleh berjalan pergerakan aku memang agak terbatas dan ia menjadi lebih teruk selepas aku berhenti kerja hampir 9 tahun yang lalu.  2 atau 3 tahun yang lepas, pergerakan aku memang betul-betul terbatas sehingga aku jarang benar keluar rumah . Pada bulan 4 tahun 2016, aku terus tak dapat berjalan sehinggalah kini. Bila dah berkerusi roda, aku rasa lebih selesa pula dan kini aku sedang menyesuaikan diri untuk melakukan semua kerja sendiri tanpa terlalu mengharapkan bantuan orang.

Tentu ada yang tertanya-tanya mengapa aku berkeadaan begini. Sakit ke? Excident ke? Sebenarnya aku mengidap penyakit Spinal Muscular Atrophy yang membuatkan bahagian pinggang dan kakiku tak sekuat seperti insan-insan normal yang lain. Penyakit ini mempunyai beberapa kategori bergantung kepada keseriusan daripada tahap 1 kepada tahap 4. Penyakit yang mempunyai tahap 1 hingga tahap 3 berada dalam keadaan yang teruk dan kebiasaannya dia tak mempunyai umur yang panjang, masa bayi atau kanak-kanak lagi dan meninggal. Tahap 4 pula berada dalam keadaan yang kurang serius dan dia boleh hidup hingga ke dewasa dan mungkin juga sampai ke usia tua. Aku berada dalam kategori ini.

Walaupun aku mengidap penyakit Spinal Muscular Atrophy, aku tak mempunyai apa-apa masalah kesihatan lain sehingga perlu berjumpa doktor selalu seperti yang dialami mereka yang berada dalam kategori 1 , 2 dan 3. Bahagian pinggang dan kakiku sahaja yang tak sekuat seperti insan-insan normal, yang lain aku tak ada apa-apa masalah kesihatan.  Syukur pada Tuhan!

Apa lagi ya. Oh ya! kalau sesiapa yang mengidap penyakit sama seperti aku, bolehlah menghubungiku untuk berkongsi maklumat dan pengalaman yang mungkin memberi manfaat kepada mereka yang mempunyai penyakit ini. 

p/s: Sememangnya kehidupan dunia ini adalah tempat ujian dan dugaan daripada Tuhan untuk menentukan siapakah hambanya yang terbaik. Untuk berasa bahagia dan gembira yang hakiki disini bukanlah tempatnya, di syurga lah tempat sebenarnya.

No comments:

Post a Comment