Thursday, February 16, 2017

Setiap Masalah Ada Jalan Jalan Penyelesaiannya.

    
     Dalam hidup ini, kita selalu berhadapan dengan berbagai masalah dan kesulitan. Ada yang menghadapi masalah kerja, masalah keluarga, masalah kenderaan, masalah kewangan, masalah perhubungan, masalah kesihatan, masalah pembelajaran dan berbagai lagi masalah yang kadang-kadang sukar untuk kita mengatasi atau mencari jalan penyelesaiannya. Itulah kehidupan. Tak dinamakan kehidupan ini kalau tiada sebarang masalah. Itulah cabarannya, itulah warna-warninya, itulah pelanginya.

Walau sesusah mana masalah yang kita hadapi pasti ada jalan penyelesaiannya. Tuhan kurniakan kita akal untuk kita berfikir dan mencari jalan penyelesaiannya bagi sesuatu masalah yang kita hadapi. Terpulang kepada kita bagaimana kita nak menggunakan anugerah Tuhan itu. Ada orang bila mereka mengahadapi masalah, mereka suka ambil jalan mudah dengan cuba lari daripada masalah dan bila sampai satu tahap mereka tak dapat lari daripada masalah itu, mereka terus menamatkan nyawa mereka. Senang sungguh hidup. Mana yang kita akan pilih? Di dunia kalau kita sakit, kalau kita menghadapi masalah ia bukanlah sepanjang masa. Ada kalanya kita masih mampu tersenyum, mampu bergembira di masa-masa lain. Bagaimana kalau di akhirat, kalau kita mengambil jalan mudah dengan menamatkan nyawa kita, memang nerakalah tempat kembali kita. Dah tinggal di neraka, ia bukan sesuatu yang sekejap, satu hari di akhirat bersamaan dengan seribu tahun di dunia. Sanggupkah kita tahan menerima azab tuhan sepanjang masa dan sepanjang hari? Sakit kat dunia yang sedikit pun kita tak tahan, ini nak merasa sakit di akhirat yang beribu-ribu kali lebih sakit.


Sebenarnya apa-apa masalah yang kita hadapi, kita harus berdepan dengan masalah itu. Kalau kita lari sampai bila-bila pun masalah kita tak akan selesai. Terkadang pelik dengan manusia yang sempurna sifat ini, masalah yang mereka hadapi seolah-olah terlalu berat sehingga sampai satu tahap bila mereka tak mampu menanggungnya, mereka mengambil jalan mudah dengan membunuh diri. Sedarkah mereka, bagaimana susah payahnya hidup sebagai seorang oku (aku tak lah sesusah mana berbanding mereka yang lebih teruk daripadaku) berbanding dengan masalah mereka yang tak seberat manapun. Kalau mereka dapat merasai hidup sebagai seorang oku pasti mereka akan amat-amat bersyukur dengan nikmat sempurna yang Tuhan kurniakan kepada mereka dan mereka akan merasakan masalah yang mereka hadapi tak lah seberat mana pun. Jadi, kalau kita menghadapi apa-apa masalah, lihatlah di sekeliling kita dan ingatlah ada orang diluar sana menghadapi masalah yang lebih teruk daripada kita. Jangan strees dan maniskan senyuman. Ingat diri kita, ingat juga diri orang lain…wassalam.  


p/s: Sekarang aku tengah menyesuaikan diri sebagai seorang oku berkerusi roda dengan menyediakan segala keperluanku untuk membolehkan aku menjalani kehidupan dengan lebih sempurna tanpa terlalu mengharapkan bantuan orang (kerusi roda yang pemegang tepinya boleh dibuka aku dah ada, kereta roda elektrik yang pemegang tepinya boleh dibuka pun aku dah ada. Selepas ini aku nak tukar kereta myvi aku dengan mpv dan kemudian akan dibuat pengubahsuaian untuk membolehkan aku masuk ke dalam kenderaan tersebut dengan kerusi roda elektrik secara terus).

No comments:

Post a Comment